Teks Ucapan Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia Untuk Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016

TEKS UCAPAN
MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN MALAYSIA
UNTUK
MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2016
KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN MALAYSIA
13 APRIL 2017, 11.00 PAGI, DEWAN SERBAGUNA KPK

(senarai salutasi disediakan oleh pihak penganjur)

Bismillahirrahman-Nir-Rahhim
Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh dan Salam 1MOTAC
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

1. Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama melahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana di hari yang mulia ini kita semua diberi kesempatan untuk bersama-sama bertemu dan berhimpun di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bagi tahun 2016, khusus untuk meraikan warga cemerlang Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

2. Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada pihak urusetia kerana berjaya meneruskan tradisi untuk menggabungkan semua jabatan dan agensi di bawah MOTAC untuk melaksanakan majlis ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

3. Kerajaan sentiasa komited dalam mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberikan oleh penjawat awam dengan menyediakan pelbagai anugerah atau ganjaran. Melalui Anugerah Perkhidmatan Cemerlang atau APC, saya berharap ia akan dapat menggalakkan pegawai dan kakitangan untuk terus memberikan komitmen dan daya usaha untuk mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti tinggi.

4. Pengiktirafan ini juga seharusnya mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan semua pegawai dan kakitangan untuk membuktikan keupayaan masing-masing bagi menghasilkan perkhidmatan yang terbaik.

5. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada 379 orang warga cemerlang MOTAC yang telah dipilih sebagai penerima APC bagi tahun 2016.

6. Mereka yang terpilih untuk menerima APC adalah pegawai yang mempunyai rekod yang baik dari pelbagai aspek dan seharusnya mereka ini menjadi suri teladan kepada yang lain. Kepada yang tidak menerimanya, bukanlah bermakna anda kurang cemerlang tetapi kita semua tahu terdapat kuota tertentu yang perlu dipatuhi oleh pihak pengurusan. Justeru, saya berharap anugerah ini dapat menjadi motivasi untuk terus berusaha dengan gigih agar matlamat yang disasarkan tercapai.

Tuan-tuan dan puan-puan,

7. Sepertimana diumumkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada awal tahun ini, tahun 2017 adalah merupakan tahun penyampaian. Penyampaian bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi kita juga perlu pastikan ia mempunyai nilai kepada rakyat, pastikan bahawa segala projek, bantuan dan program yang telah dirancang sampai kepada rakyat.

8. Bagi mencapainya, kita perlu berubah dari segi cara pemikiran. Penjawat awam perlu fokus kepada penyampaian perkhidmatan, usaha, latihan, penambahan nilai dan segala-galanya untuk kebajikan rakyat.

9. Ini juga selari dengan Program Transformasi Nasional 2050 atau TN50 yang bakal menggarap visi anak muda Malaysia untuk tiga (3) dekad sehingga tahun 2050. Dalam merealisasikan TN50, kita semua selaku penjawat awam harus bersama-sama bangun dan bekerjasama kerana transformasi ini melibatkan proses dan gerak kerja jangka panjang bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda par excellence.

10. Tahun 2017 juga merupakan Tahun Melawat ASEAN atau Visit ASEAN@50 di mana rantau ASEAN ini dipromosikan sebagai satu destinasi kepada dunia. Malaysia dijadual menganjurkan dan menjadi hos bagi beberapa acara untuk mempromosikan ASEAN, seperti ASEAN Celebrity Explore Quest 2017, Sukan SEA Kuala Lumpur Ke-29, Sukan Para ASEAN 2017 dan Pameran Fesyen ASEAN. Peluang ini merupakan peluang yang baik untuk kita mempromosikan Negara kita sebagai destinasi yang boleh memenuhi semua keperluan pelancong. Teruskan menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru dalam pelaksanaan aktiviti promosi kita, dan saya pasti hasilnya akan memberi manfaat kepada banyak pihak.

11. Selain itu, pemerkasaan budaya dan warisan juga terus menjadi agenda penting bagi MOTAC pada tahun ini. Di sini, peranan JKKN, JMM, Arkib, JWN, PNM, LPSVN, IB, ASWARA dan Kraftangan begitu penting. Apatah lagi dengan fokus yang diberikan kerajaan kepada generasi muda, lebih banyak inisiatif perlu dirancang dan dilaksana bagi memastikan jati diri mereka sebagai anak bangsa Malaysia cukup kuat, seterusnya mengukuhkan rasa cinta mereka kepada Negara ini yang boleh mendorong mereka untuk memimpin Negara dan rakyat dengan baik pada masa akan datang.

12. Apa yang pasti, kita semua harus sentiasa bersiap sedia kerana tanggungjawab yang kita semua pikul pada hari ini adalah lebih besar dari semalam. Negara kita semakin masyhur di mata dunia, dan tugas seluruh warga MOTAC adalah sangat besar kerana kita memainkan peranan penting dalam memastikan hospitaliti dan kualiti produk yang ditawarkan memenuhi ekspektasi pelancong yang datang melawat negara kita.

13. Tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada semua penerima APC 2016. Tidak lupa juga kepada pihak urusetia majlis yang telah bertungkus lumus dalam memastikan penganjuran majlis ini berjalan dengan lancar.
Apalah tanda kerang berisi
Bila direbus kulitnya merekah
Untungnya tuan orang berbudi
Dikenang orang semuanya indah.

Mekar menguntum molek hiasan,
Kering telaga malam purnama;
Gabung sinergi budaya dan pelancongan,
Hasil produktif pasti menjelma.

14. Teruskan budaya kecemerlangan ini demi nama dan imej 1MOTAC pada masa akan datang.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

Last updated :




Kod QR
Scan the QR Code on your smartphone for mobile version.