Teks Ucapan YB Menteri Semasa Lawatan Ke Tokong Cheng Wah Keong, Melaka

TEKS UCAPAN
MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN MALAYSIA
YB DATO’ SERI MOHAMED NAZRI ABDUL AZIZ
SEMASA
LAWATAN KE TOKONG CHENG WAH KEONG, MELAKA
24 JANUARI 2017, 11.00 PAGI

(senarai salutasi disediakan oleh pihak penganjur)

Rakan-rakan media,

Tuan-tuan dan puan-puan,

Selamat Pagi, Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatan Kuasa Tokong Cheng Wah Keong yang telah menjemput saya untuk melawat tokong ini pada hari ini, sekaligus merasmikan salah satu upacara warisan kaum Cina iaitu "Wangkang".

2. Saya difahamkan bahawa upacara Wangkang mempunyai sejarah beratus tahun dan bagi negeri ini, upacara Wangkang yang pertama telah diadakan pada tahun 1854 dan yang terakhir diadakan secara besar-besaran adalah pada 2001 oleh Tokong Eng Chuan Tian.

3. Setelah 16 tahun, upacara Wangkang ini akan dilaksanakan semula di Melaka oleh Tokong Cheng Wah Keong, dan saya pasti ia akan menjadi permulaan yang baik bagi tahun ini, kerana ia juga merupakan salah satu produk pelancongan yang unik dan berpotensi untuk menarik lebih ramai pelancong untuk melawat negeri Melaka yang penuh bersejarah ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

4. Wangkang atau "Kapal Wang" merupakan satu upacara untuk menangkap semua roh jahat yang menyebabkan "penyakit" dan membawa masalah kepada susunan sosial dalam masyarakat, di mana kapal tersebut akan digunakan untuk menghantar roh-roh ini pergi dari dunia ini, sekaligus mendoakan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.

5. Saya difahamkan bahawa upacara ini hanya dijalankan setiap 5 hingga 14 tahun dan pada tahun ini, Tokong Cheng Wah Keong telah diarahkan oleh Dewa Ong Yah untuk menganjurkan upacara Wangkang yang terbesar dalam sejarah pada 9 Februari 2017.

6. Upacara Wangkang ini akan berarak mengelilingi bandar, iaitu bermula dari Tokong Cheng Wah Keong dan melalui jalan-jalan utama di bandar Melaka. Saya turut difahamkan bahawa hampir 4,000 orang peserta akan menyertai perarakan ini nanti, termasuklah beberapa pertubuhan dan tokong Cina dari Malaysia, Negara China, Taiwan dan Singapura.

7. Saya pasti upacara pada tahun ini bukan sahaja akan menjadi yang paling besar dan menarik, bahkan juga mampu menaikkan nama negeri Melaka dan Malaysia sebagai hub kebudayaan Asia di rantau ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

8. Melihat kepada potensi besar upacara Wangkang ini, sukacita saya mengumumkan bahawa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menerusi agensi Jabatan Warisan Negara, sedang dalam proses menyediakan dokumen pencalonan Upacara Wangkang untuk penyenaraian UNESCO Representative List, yang terletak di bawah Convention for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage 2003, bersama dengan Negara China.

9. Ini adalah selaras dengan Operational Directives for the Implementation of the Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage yang menggalakkan pencalonan secara multi-national sekiranya elemen warisan yang terlibat turut didapati wujud di lebih daripada satu negara anggota. Bersama-samalah kita berdoa supaya hasrat kita untuk menjadikan upacara Wangkang ini sebagai satu warisan dunia, tercapai.

10. Apa yang pasti, usaha dan kerja keras oleh Pengerusi Tokong Cheng Wah Keong, Encik Hau Han Lee dan seluruh ahli jawatankuasa tokong ini, dalam menjayakan upacara ini pada tahun ini sememangnya patut dihargai. Saya percaya setiap gerak kerja yang dilakukan melibatkan banyak wang, masa dan tenaga.

11. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua pihak yang bersatu menjayakan program ini. Semoga semangat kerjasama dan muhibah yang wujud ini akan diteruskan pada masa yang akan datang, demi kemakmuran negara kita.

Sekian, terima kasih.

Last updated :




Kod QR
Scan the QR Code on your smartphone for mobile version.